Surah Al-Baqara
Apa
sahaja ayat keterangan yang Kami mansukhkan (batalkan) atau yang Kami
tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik
daripadanya atau yang sebanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui
bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu? (106) Tidakkah
engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam
langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang
dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan. (107) Adakah
kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi
Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan
mengambil kekufuran, maka sesungguhnya dia telah sesat dari jalan yang
lurus. (108) Banyak
di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka
dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana
dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka
kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah
oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya.
Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (109) Dan
dirikanlah oleh kamu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat dan apa jua
yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, tentulah kamu akan
mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa
Melihat segala yang kamu kerjakan. (110) Dan
mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata pula: Tidak sekali-kali akan masuk
Syurga melainkan orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani. Yang
demikian itu hanyalah angan-angan mereka sahaja. Katakanlah (wahai
Muhammad): Bawalah kemari keterangan-keterangan yang (membuktikan
kebenaran) apa yang kamu katakan itu, jika betul kamu orang-orang yang
benar. (111) (Apa
yang kamu katakan itu tidaklah benar) bahkan sesiapa yang menyerahkan
dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang dia pula berusaha
supaya baik amalannya, maka dia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya
dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik)
terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (112)
No comments:
Post a Comment